Ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jakarta hari ini bagi mengadakan pertemuan bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto kini terarah kepada perbincangan utama berkaitan Ambalat.
Dalam Rundingan Tahunan ke-13 di Jakarta hari ini juga menjangkakan kedua-dua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.
Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ini turut diiringi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Isu berkaitan Ambalat sememangnya menjadi isu yang panas antara dua negara kerana wujudnya tuntutan yang bertindih di wilayah maritim tersebut.
Indonesia memanggilnya dengan nama Ambalat manakala di pihak Malaysia pula memanggil nama wilayah maritim ini dengan nama ND6 dan ND7.
Ambalat Milik Negara Mana?
Ramai yang bertanyakan di ruangan internet mahupun media sosial tentang status Ambalat ini berkaitan status pemilikannya sama ada milik Malaysia atau Indonesia.
Isu pertikaian Ambalat antara Malaysia dengan Indonesia masih belum selesai hingga kini dan status hak milik sah secara perundangan antarabangsa tetap menjadi perkara yang diperdebatkan.
Ambalat merupakan blok laut yang kaya sumber minyak dan gas di perairan Sulawesi yang berada di sebelah timur Borneo.
Ambalat terletak berhampiran sebahagian sempadan darat Sabah – Kalimantan iaitu berdekatan Pulau Sebatik, Pulau Sipadan dan Ligitan.
Hingga kini tiada keputusan mahkamah antarabangsa yang muktamad tentang hak milik Ambalat yang mana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 hanya memberi Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia tetapi langsung tidak memutuskan keputusan berkaitan hak pemilikan terhadap ambalat.
Malaysia cuba menuntut Ambalat untuk berada di bawah pemilikannya berdasarkan peta tahun 1979 dengana mengaitkan hak maritim sekitar Pulau Sipadan dan Ligitan yang dimenangi Malaysia di ICJ.
Namun begitu, peta ini dipertikai oleh Indonesia kerana mendakwa peta tersebut sebagai bentuk perluasan sepihak tanpa persetujuan bersama.
Indonesia pula mendakwa Ambalat sebagai miliknya berdasarkan sejarah dan prinsip UNCLOS yang mana wilayah itu dahulunya adalah sebahagian Kerajaan Bulungan dan konsisten menjadi zon ekonomi eksklusif (ZEE) Indonesia menurut undang-undang laut antarabangsa.
Kedua-dua negara telah berulang kali berunding tetapi belum mencapai persetujuan sempadan yang muktamad dan kini selepas pertemuan Presiden Indonesia dan Perdana Menteri Malaysia pada Jun 2025, kedua-dua negara sepakat untuk menjalankan kerjasama pembangunan bersama (JD) di Ambalat sambil terus mencari penyelesaian diplomatik dan undang-undang.
Kaya Sumber Mineral, Rezeki Lumayan Untuk Nelayan
Blok laut Ambalat sudah pun dikenali dengan limpahan hasil minyak dan gas yang begitu banyak maka tidak hairan kedua-dua negara ini menuntut blok laut tersebut.
Bukan itu sahaja malahan usaha mempertahankan sesuatu wilayah sebagai hak miliknya adalah satu simbol maruah bagi sesebuah negara bagi memastikan haknya tidak terlepas ke tangan yang lain.
Walaubagaimanapun, wujud satu kumpulan yang begitu mengharapkan agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik iaitu golongan nelayan.
Nelayan di Pulau Sebatik amat berharap agar pertemuan pada hari ini mampu membawa penyelesaian konkrit bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang bergantung pada hasil laut dapat diteruskan selepas ini.
Wilayah maritim itu amat kaya dengan dengan hasil laut terutamanya ikan dan nelayan menganggap kawasan tersebut sebagai kawasan sesuai untuk sumber pencarian rezeki mereka.
Mereka mendakwa kedudukan Ambalat yang hampir dengan Pulau Sebatik sepatutnya tidak menjadi masalah untuk mereka turun ke laut bagi menangkap ikan namun sedar pertikaian antara kedua negara masih belum selesai maka mereka tidak berani mengambil risiko.
Mereka mendakwa wilayah laut ini amat berisiko untuk mereka turun ke laut kerana sempadannya yang tidak begitu jelas dan khuatir didakwa atas kesalahan menceroboh perairan laut Indonesia.
Semestinya semua warga Malaysia mahukan berita yang baik hasil rundingan dengan Indonesia berkenaan isu Ambalat ini selepas terpaksa berkonflik panjang dengan Singapura dalam isu Batu Putih.