Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini “faham” kenapa Barisan Nasional dahulu buat pelantikan politik, bukan sahaja sinis, tetapi juga mendedahkan hipokrasi mendalam kerajaan Madani hari ini.
Dulu, Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan mengecam keras pelantikan politik dalam syarikat GLC, agensi kerajaan dan kedutaan. Ia dianggap amalan kronisme, pembaziran, dan pencabulan prinsip integriti. Hari ini, bukan sahaja amalan itu diteruskan , malah dipertahankan dengan hujah yang sama digunakan oleh BN suatu masa dahulu.
Lebih menyakitkan, kenyataan ini disambut dengan reaksi terbuka oleh Anwar sendiri yang menyatakan bahawa pelantikan politik itu “bukan salah guna kuasa”, tetapi satu keperluan pentadbiran. Bukankah ini pengkhianatan terang-terangan terhadap semangat reformasi yang mereka laungkan berpuluh tahun?
Jika kerajaan Madani sudah menggunakan logik yang sama seperti BN dahulu, maka apa sebenarnya yang telah diperjuangkan selama ini? Rakyat memilih untuk berubah, bukan untuk melihat pengulangan skrip lama dengan wajah baharu. Jika pelantikan politik ini dahulu salah, ia tetap salah hari ini tidak kira siapa yang lakukan.
Jangan beri alasan “kini kami faham”. Kerajaan yang kononnya reformis kini terbukti hanya meneruskan budaya lama dengan topeng baru. Inilah wajah sebenar Madani: reformasi hanya slogan, kuasa tetap keutamaan.