Laporan China Press Menyeleweng Titah YDPA?

Tindakan akhbar berbahasa Cina, China Press, yang menerbitkan sebuah artikel dengan penyampaian mesej yang dikatakan jelas berbeza dan menyeleweng daripada titah sebenar Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dalam isu kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dipandang serius.

Perbezaan naratif tersebut bukan sekadar isu penterjemahan, sebaliknya membawa implikasi besar terhadap keharmonian masyarakat serta persepsi rakyat terhadap institusi Raja dan asas pembinaan negara.

Naratif Menyeleweng Buka Ruang Salah Faham dan Ketidakharmonian

Meor Azim, Ketua Pemuda Berjasa berkata, laporan China Press tersebut berpotensi membuka ruang salah faham dan ketidakharmonian antara masyarakat berbilang kaum apabila mesej asal titah YDPA disampaikan dalam bentuk yang menyeleweng.

Titah sebenar Yang Di-Pertuan Agong menegaskan bahawa sekiranya ada pihak yang tidak menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka mereka seharusnya mempertimbangkan untuk tidak tinggal di Malaysia.

“Namun, laporan China Press telah menukarkan maksud tersebut kepada naratif yang jauh berbeza, iaitu “tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk di Malaysia”, yang jelas menyimpang daripada maksud asal dan membawa konotasi menghukum serta bersifat eksklusif.”, tambahnya.


Cubaan Provokasi Melalui Penterjemahan Bermakna Berbeza

Usaha penterjemahan yang membawa makna berbeza daripada titah asal ini tidak boleh dianggap satu kesilapan teknikal semata-mata, tetapi mempunyai unsur provokasi yang berpotensi memberi kesan besar kepada pembaca.

Naratif sedemikian boleh membentuk persepsi seolah-olah wujud unsur ekstremisasi atau radikalisasi daripada Yang Di-Pertuan Agong dalam isu meletakkan Bahasa Melayu di kedudukan tertinggi dan utama, sedangkan perkara tersebut adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta merupakan asas identiti negara.

Tindakan ini berbahaya kerana ia boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap institusi Raja dan menghakis kepercayaan terhadap simbol penyatuan nasional.

Bimbang Wujud Berulang Media Yang Gagal Mengimani Identiti Nasional

Isu ini tidak boleh dilihat secara terasing, sebaliknya perlu dinilai dalam konteks rekod berulang media tertentu yang memainkan isu sensitif, membuat provokasi dan gagal mengimani identiti nasional Malaysia.

“Tindakan sebegini menunjukkan kegagalan untuk menghormati Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi teras perpaduan rakyat.”, tegasnya.

Pandangan BERJASA: Tindakan Tegas, Bukan Sekadar Amaran

Sehubungan itu, tindakan terhadap China Press dan pihak yang terlibat tidak boleh terhenti setakat amaran semata-mata.

Pemuda BERJASA menuntut tindakan tegas diambil mengikut undang-undang sedia ada, misalnya Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan kemungkinan penggunaan Akta Hasutan 1948 sebagai langkah tambahan. Ini juga termasuk siasatan menyeluruh terhadap unsur hasutan, provokasi dan penyelewengan fakta yang boleh mengancam keharmonian negara.

Sekiranya terbukti wujud pelanggaran undang-undang serta penolakan terhadap asas negara, maka langkah paling tegas termasuk pertimbangan melucutkan kewarganegaraan dan membatalkan permit penerbitan China Press wajar dinilai selaras dengan peruntukan undang-undang dan kepentingan keselamatan nasional seperti mana yang disarankan Prof Teo Kok Seong.


Bahasa Melayu dan Institusi Raja Bukan Bahan Provokasi

BERJASA menegaskan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan institusi Raja sebagai tonggak negara bukan bahan untuk dimanipulasi demi agenda sempit atau permainan persepsi.

Malaysia hanya akan kekal aman dan bersatu sekiranya semua pihak menghormati Perlembagaan, Rukun Negara serta identiti asas negara. Sebarang cubaan mencabar prinsip ini melalui provokasi media atau penyelewengan naratif mesti ditangani dengan tegas dan tanpa kompromi.

BERJASA akan terus berdiri mempertahankan kedaulatan undang-undang, keharmonian rakyat serta identiti nasional Malaysia daripada sebarang bentuk hasutan dan pengkhianatan terselindung.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Gugurkan kewarganegaraan wartawan FMT jika terbukti Khianat – Hamdan Sharif, Ketua Penerangan Berjasa

Related Posts