Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk SerI Anwar Ibrahim pada hari Jumaat yang lalu telah mendapat liputan media yang luas.
Ramai yang memberikan pendapat yang berbeza yang mana ada sebahagian melihat Belanjawan 2026 daripada sudut yang positif seperti adanya peruntukkan untuk pembiayaan PTPTN percuma untuk mahasiswa yang berasal daripada keluarga B40, kenaikan cukai arak dan sebagainya.
Namun ada juga pihak yang berpendapat bahawa Belanjawan 2026 tidak mempunyai pembaharuan yang menarik pun atau erti kata lainnya tiada “wow factor” yang boleh mengujakan rakyat secara umumnya.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif melihat sebenarnya tiada peningkatan produktiviti yang begitu ketara jika dibandingkan Belanjawan 2026 dengan Belanjawan 2025 yang lepas.
Memang benar peruntukkan untuk Belanjawan 2026 adalah sebanyak RM470 bilion meningkat RM18 bilion berbanding RM452 bilion pada tahun 2025.
Namun demikian harus diingat bahawa unjuran pertumbuhan untuk tahun 2026 adalah sekitar 4.0% hingga 4.5% lebih rendah berbanding tahun 2025 iaitu sekitar 4.0% hingga 4.8%.
Hal ini menunjukkan bahawa peningkatan perbelanjaan kerajaan melalui peruntukkan di dalam belanjawan ini tidak selari dengan produktiviti ekonomi sebenar.
Sasarkan Defisit Fiskal Untuk Belanjawan 2026 Tetapi Hutang Terus Menaik
Kerajaan menyasarkan kadar fiskal diturunkan daripada 3.8% pada 2025 kepada 3.5% untuk 2026 namun kelihatan sukar untuk dicapai memandangkan hutang baharu kekal tinggi sekitar RM77 bilion – sama seperti sebelum ini.
Mungkin kerajaan akan menggunakan hujah bahawa hasil kutipan negara dijangka meningkat untuk 2026 iaitu RM343.1 bilion berbanding RM334.1 bilion pada 2025 bagi ‘meredakan’ isu defisit fiskal ini namun hasil pendapatan itu sebenarnya banyak disumbangkan oleh kutipan cukai tidak langsung dan hasil penyasaran subsidi sahaja.
Beliau mempersoalkan adakah kerajaan sudah tidak mampu lagi menarik pelaburan yang berprestasi tinggi sehingga hanya bergantung kepada dua bentuk hasil pendapatan ini sahaja.
Hal ini bukan sesuatu yang membanggakan malahan sepatutnya kerajaan memikirkan kembali sehingga bilakah kaedah meningkatkan hasil pendapatan negara adalah melalui kutipan cukai?
Sepatutnya kerajaan memainkan strategi ampuh untuk meningkatkan pendapatan negara melalui pelaburan global yang menarik di Malaysia.
BERJASA Desak Kerajaan Fokus Perkasakan Ekonomi Bumiputera
Beliau yang mewakili BERJASA berpendapat kerajaan sewajarnya memfokuskan kepada pengukuhan ekonomi Bumiputera melalui Model Ekonomi Efektif – GLC dan agensi pembangunan perlu digabungkan di bawah satu pelan hala tuju tunggal berpaksikan pemilikan aset, bukan hanya program jangka pendek.
Kerajaan juga sewajarnya terus meningkatkan ekonomi usahawan desa dengan membelanjakan 10% daripada bajet pembangunan untuuk usahawan-usahawan desa ini terutamanya di kawasan yang majoritinya Bumiputera.
Selain itu, sebaiknya Belanjawan 2026 ini juga mengembalikan dasar industrialisasi nasional berasaskan teknologi tempatan dengan memfokuskkan kepada automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pertanian pintar agar ekonomi desa tidak ketinggalan dalam gelombang digital.
Tambah beliau, banyak lagi idea baharu yang boleh dibawa oleh kerajaan untuk Belanjawan 2026 ini kerana pembentangan belanjawan yang dibuat oleh Perdana Menteri langsung tiada peruntukkan yang baharu atau berbeza daripada sebelum ini.