Isu panas yang timbul daripada kenyataan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) MyBurgerLab, Andrew Chong yang menghina agama Islam jelas menunjukkan kelemahan kerajaan Malaysia Madani dalam menguruskan isu 3R dan memperlihatkan bahawa rakyat Malaysia masih berhadapan dengan masalah Islamofobia di negara sendiri walaupun majoritinya rakyatnya beragama Islam.
Malahan isu ini turut berlaku rapat dengan insiden biadab bendera Malaysia digantung secara terbalik di bulan kemerdekaan ini.
Tambah mendukacitakan apabila pelaku-pelaku insiden ini langsung tidak dikenakan undang-undang berkait kesalahan 3R iaitu Raja, Agama dan Kaum seperti yang dikenakan kepada pesalah sebelum ini.
3R dilihat hanya digunakan oleh kerajaan untuk menentang “provokasi” politik daripada belah penyokong mahupun ahli politik pembangkang apabila bersuara dalam memperjuangkan isu Melayu dan Islam.
Mereka akan dikenakan tindakan sitaan alat komunikasi yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia (SKMM) dan dituduh atas tuduhan menghasut serta menimbulkan kekacauan awam.
Sedangkan di dalam isu bendera Malaysia terbalik dan ciapan bangsat bekas COO MyBurgerLab langsung tidak dikenakan apa-apa hukuman berkaitan 3R.
Adakah undang-undang berkaitan 3R ini hanya khas melibatkan orang Melayu sahaja dan dikecualikan kepada bangsa “chauvinist” sahaja?
Mereka hanya mengucapkan maaf sahaja sudah selesai tanpa ada sebarang tindakan susulan daripada pihak kerajaan.
Kerajaan Malaysia Madani Berat Sebelah Dalam Soal 3R
Kerajaan Malaysia Madani ada diisi oleh ahli Parlimen berbangsa Melayu dan beragama Islam namun terus diam membisu demi menjaga laba politik masing-masing.
Ketua Perhubungan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berpendapat sungguh jijik mereka ini terus berdiam diri walaupun sudah menjadi kerajaan dan melihat mereka ini begitu bacul dalam mempertahankan isu berkaitan Melayu dan Islam walaupun kedua-duanya merupakan elemen penting dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mempersoalkan sama ada undang-undang 3R ini dilaksanakan secara terpilih dan begitu berat sebelah.
Amat malang jika kerajaan hari ini melihat isu yang begitu biadab ini sebagai isu kecil kerana dipastikan secara umum bahawa ia sudah berlaku secara berulang dengan kesalahan yang sama.
Berlaku Secara Berulang, Sudah Masanya Perlu Bertegas
Isu sebegini sepatutnya sudah lama diuruskan dengan pendekatan yang lebih tegas daripada kerajaan kerana ia bukannya sahaja baru lagi berlaku namun sudah terjadi secara berulang daripada dahulu lagi.
Cukup berikan mereka muka ketika didapati melakukan kesalahan dan permohonan maaf tidak cukup untuk menutup kesalahan tersebut.
Sempena bulan kemerdekaan yang akan disambut oleh semua rakyat Malaysia, semangat cintakan negara perlu didasari dengan penghayatan kefahaman bahawa negara ini pasaknya adalah Islam, Melayu dan institusi diraja Melayu.
Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu jelas berkaitan mengenai perkara ini maka tiada alasan lagi untuk melakukan kesalahan bodoh yang sama.