Selepas isu bendera Malaysia terbalik berlaku di sebuah sekolah yang terletak di Port Dickson, ramai yang beranggapan ia sudah pun reda dan mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini.
Namun begitu, jangkaan itu begitu meleset sama sekali apabila yang terbaru telah tular satu video yang memaparkan seorang lelaki memasang bendera Malaysia terbalik sambil dirakam oleh rakannya.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di hadapan kedai perkakasan milik pelaku di Pulau Pinang antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.
Penularan video tersebut dengan pantasnya menimbulkan rasa kurang senang rakyat Malaysia yang sudah pun muak dengan kejadian serupa seperti yang berlaku di sebuah sekolah yang terletak di Port Dickson.
Dua kejadian ini berlaku dalam masa yang begitu dekat maka ramai pihak membuat andaian adakah wujud tindakan yang ingin mencabar soal kedaulatan dan kehormatan negara.
Malahan rakyat tidak berpuas hati dengan kenyataan pelaku yang mengatakan dia sedang mengukur panjang tiang besi ketika menggantung bendera kebangsaan pada waktu itu.
Alasan bodoh yang diberikannya adalah dia tidak menyedari bendera itu dipasang secara terbalik sedangkan dia boleh sahaja dahulu memeriksa kedudukan Jalur Gemilang sebelum ingin membuat ukuran.
Maka seperti biasa jawapan yang diberikannya adalah permohonan maaf sahaja tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Mengapa Isu Bendera Malaysia Terbalik Sering Berlaku?
Rakyat Malaysia majoritinya tidak akan segan silu untuk menyatakan secara terbuka bahawa mereka sudah muak dengan segala isu melibatkan rasa tidak hormat terhadap bendera Jalur Gemilang ini.
Rata-ratanya memberikan komen di Internet bahawa agak bodoh bagi seorang rakyat Malaysia yang menjadi pelaku isu tidak sensitif dengan penghormatan terhadap Jalur Gemilang.
Mereka yang lahir di sini, mencari rezeki di sini dan menetap di sini sewajibnya tahu bahawa Jalur Gemilang adalah simbol negara dan bendera melambangkan kedaulatan negara tersebut.
Setelah diperhatikan dengan teliti mengenai isu ini, ia berlaku secara berulang saban tahun kerana mungkin wujud rasa ingin melakukan provokasi ataupun menyemarakkan rasa ketegangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Wujud persepsi pelaku ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap politik Malaysia dengan memasang bendera secara terbalik sedangkan isu melibatkan politik tidak sepatutnya dikaitkan dengan simbol kedaulatan Malaysia.
Bendera mewakili negara Malaysia manakala pemimpin yang mencorakkan suhu politik Malaysia adalah ahli politik itu sendiri.
Jika memang benar mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan sekalipun, sepatutnya ia disalurkan terus kepada pemimpin dengan melakukan bantahan secara terbuka sama ada melalui demonstrasi ataupun kertas undi nanti.
Selain itu, penguatkuasaan terhadap kesalahan memasang bendera Malaysia secara terbalik yang lemah juga menjadi penyumbang kepada berulangnya isu yang sama ini.
Malaysia sudah pun mempunyai akta untuk kesalahan ini di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang mana seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan mahupun atau denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan menggunakan bendera secara tidak wajar termasuk memasangnya terbalik dengan maksud menghina atau merendahkan maruah bendera sebagai lambang negara.
Jelas Malaysia mempunyai undang-undang yang lengkap untuk melaksanakan hukuman terhadap pesalah yang menghina bendera Malaysia tetapi masih ramai pihak yang mengambil ringan mengenainya.
Hal ini disebabkan oleh kurangnya penguatkuasaan terhadap kesalahan ini di seluruh negara hingga menyebabkan ada pihak yang berani bermain api untuk menghina bendera Malaysia.
Maka apa gunanya undang-undang jika ia tidak bersifat melindung?
Laksanakan Ketegasan Mulai Sekarang
Sepatutnya sudah lama diketatkan penguatkuasaannya namun kelihatan begitu longgar maka kini kerajaan tidak boleh lagi mengambil mudah dalam isu ini.
Kerajaan sewajarnya terus bertindak tegas dalam menghukum pesalah bagi menoktahkan terus kesalahan bodoh ini daripada terus berlaku secara berulang.
Agak melampau untuk ditulis namun sewajarnya pesalah yang merupakan rakyat Malaysia terus dilucutkan kerakyatannya oleh kerajaan.
Alasan tidak sedar, cuai dan terlepas pandang adalah alasan yang tidak boleh diterima dengan logik akal kerana bendera Jalur Gemilang sudah lama didedahkan gambarnya di sekolah lagi.
Cukup-cukuplah menggunakan “play victim card” bagi menagih simpati setelah melaksanakan kesalahan hingga menuduh pengkritik sengaja ingin bermain sentimen perkauman.
Menuduh orang lain sengaja ingin bermain sentimen perkauman adalah menandakan pelaku tidak mahu mengaku kesilapan sendiri.