Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada hari esok iaitu 31 Julai 2025 sebagai satu pelan pembangunan sosioekonomi negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Secara ringkas, inti pati RMK-13 adalah ingin mengukuhkan kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan.
RMK-13 juga dirangka bagi mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu dan melaksanakan reformasi struktur ekonomi supaya Malaysia kekal kompetitif serta produktif dengan rantaian nilai yang lebih tinggi.
Selain itu, RMK-13 menekankan ketahanan nasional sebagai teras pelan bukan sekadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata yang mana ia termasuk aspek ekonomi digital, keterjaminan makanan, tenaga boleh baharu dan pemerkasaan tenaga buruh khususnya pembangunan teknologi dan inovasi tempatan serta pelaburan domestik.
Hal ini boleh dikatakan bahawa pendekatan RMK-13 lebih bersifat rangsangan ekonomi bukan langkah penjimatan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Apakah Bidang Keutamaan RMK-13?
RMK-13 menetapkan beberapa bidang keutamaan yang ingin ditumpukan iaitu ekonomi, sosial, alam sekitar, tatakelola, transformasi teknologi & inovasi, pembangunan modal insan dan ketahanan ekonomi serta daya saing.
Dalam aspek ekonomi, RMK-13 cenderung meningkatkan perbelanjaan pembangunan dan suntikan fiskal ke sektor berimpak tinggi selagi kadar defisit dan hutang negara terkawal.
Kerajaan juga dijangka meneruskan dasar perluasan asas cukai memperkukuh pelaksanaan subsidi bersasar agar hanya golongan memerlukan menerima manfaat serta dasar gaji progresif yang bertujuan untuk meningkatkana hasil dan kecekapan fiskal tanpa membebankan rakyat marhaen.
Bukan itu sahaja malahan kerajaan merancang untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3% KDNK dan mengekalkan nisbah hutang tidak melebihi 60% KDNK selari dengan prinsip kebertanggungjawaban antara generasi dan keperluan daya tahan fiskal kerajaan.
Dalam aspek transformasi teknologi dan inovasi pula, RMK-13 memberi tumpuan kepada pembangunan dan penglibatan aktif dalam industri berteknologi tinggi seperti tenaga baharu, digital, elektrik dan elektronik (E&E) bernilai tinggi serta nadir bumi, pertanian dan industri asas tani moden.
Kerajaan melalui RMK-13 juga akan mengadaptasi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dijangka akan menjadi teras pertumbuhan baharu.
Aspek ketahanan ekonomi serta daya saing dalam RMK-13 pula akan mengangkat agenda ketahanan nasional melalui pembangunan teknologi tempatan, daya saing ekonomi digital, keterjaminan makanan dan penggunaan tenaga boleh baharu.
Penekanan dalam aspek ini juga akan diberikan untuk menaik taraf sistem pengangkutan dan lapangan terbang utama serta memperkukuh logistik negara selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk meningkatkan potensi pertumbuhan pelancongan.
Harapan Besar Ditanam Oleh Rakyat
Rakyat Malaysia secara umumnya mengharapkan RMK-13 dapat membawa perubahan yang nyata dan signifikan dalam kehidupan mereka dengan menyelesaikan masalah lama dan dapat meningkatkan kesejahteraan secara inklusif.
Rakyat begitu mengharapkan agar kerajaan mampu menyelesaikan masalah harga barang yang semakin tinggi kerana mereka berasa begitu terbeban.
Walaupun kenaikan gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,700 menjelang 1 Ogos ini namun pastinya harga barang akan dinaikkan oleh peniaga untuk menampung kos overhed perniagaan.
Sistem kesihatan awam yang lebih efisien juga diharapkan oleh rakyat kerana sistem kesihatan awam sedia ada begitu sesak dan tidak berapa tersusun.
Sebaiknya sistem kesihatan awam dapat ditingkatkan kualitinya bagi mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan khususnya.
Selain itu, isu pemilikan rumah yang tidak mampu dibeli oleh rakyat tempatan juga dibangkitkan untuk diselesaikan oleh kerajaan dengan harapan agar kerajaan mampu membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan seperti B40 dan M40.
Secara khusus, belia juga mengharapkan skim perumahan khas dengan subsidi deposit atau kemudahan lain memudahkan mereka memiliki rumah pertama.
Harapan masyarakat umum adalah agar RMK-13 bukan sekadar pelan lima tahun biasa, tetapi satu pelan transformasi yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung dan memberi peluang untuk maju setara dalam negara yang semakin kompetitif