KUALA LUMPUR – Presiden Parti BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan bahawa dunia seolah-olah senyap dan menutup mulut dalam isu pembantaian rakyat Palestin oleh rejim Israel, termasuk negara-negara Arab yang seagama dan seakidah, tetapi gagal mempertahankan nasib saudara seagama mereka.
Menurut beliau, rakyat Palestin tetap menjadi nadi perjuangan umat Islam dan perlu terus disanjung serta dibela.
“Apa yang saya harapkan adalah negara kita tidak senyap. Kita mesti memperingati penyiksaan dan kezaliman yang dilakukan oleh Israel,” katanya.
Ustaz Zamani turut merujuk kepada fatwa ulama sedunia yang menyeru umat Islam bangkit dan berjihad. Namun, katanya, jihad bukan semata-mata dengan mengangkat senjata, tetapi melalui penyusunan gerakan masyarakat yang seirama dalam membela rakyat Palestin.
“Saya mencadangkan supaya negara kita menjadikan setiap hari Jumaat dalam satu minggu sebagai minggu kebangkitan semangat untuk Gaza. Supaya rakyat Malaysia membina sifat peduli dan membantu. Apa salahnya jika setiap minggu kita kumpul dana untuk Gaza? Ini juga satu bentuk jihad.”
Tambah beliau lagi, sudah tiba masanya untuk Malaysia membuka ruang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang ingin membangkitkan semangat perjuangan untuk membantu rakyat Gaza.
“Israel menunjukkan sikap kebinatangan yang menutup mulut seluruh dunia termasuk negara-negara Islam. Takkanlah Malaysia juga mahu berdiam diri? Kita juga sebahagian daripada Palestin, kita perlu bangun dengan jihad yang sesuai dengan keadaan negara kita,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar khutbah Jumaat khas diadakan setiap bulan bagi meniup semangat perjuangan rakyat Malaysia dalam membela Palestin, serta satu kutipan khas diadakan setiap bulan di seluruh masjid untuk rakyat Gaza.
“Malaysia adalah sebahagian daripada Palestin. Nama Malaysia makmur di sana. Tapi sekarang, mengapa kita diam? Di mana jihad yang patut kita laungkan? Jihad bukan hanya dengan senjata, tetapi dengan cara yang sesuai di negara ini,” tegas beliau.