Tanah Rizab Melayu: Aset Kuasa Semakin Hilang

Tanah Rizab Melayu (TRM) bukan sekadar tanah ia adalah simbol kedaulatan, warisan, dan jaminan masa depan bagi orang Melayu di negara ini. Namun, amat menyedihkan apabila statistik menunjukkan jumlah tanah yang berstatus TRM telah merosot secara drastik daripada lebih 50 peratus kepada hanya sekitar 12 peratus atau kurang pada masa kini. Penyusutan ini bukan sahaja membimbangkan, malah menimbulkan persoalan besar tentang pengurusan dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tanah ini.

Menurut Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, kehilangan tanah TRM berpunca daripada dua faktor utama: sikap tamak dan kapitalistik segelintir pemilik Melayu serta kelemahan pengurusan dan pentadbiran tanah oleh pihak berkuasa negeri. Situasi ini menyebabkan tanah yang sepatutnya menjadi pelindung masa depan bangsa tergadai kepada pihak luar, atas nama pembangunan dan keuntungan jangka pendek.

Kisah di Seremban: Tanda Amaran yang Nyata

Prof Dr Zainur Rashid turut berkongsi pengalaman peribadi beliau ketika mengunjungi sebuah kampung di pinggir daerah Seremban. Di situ, seorang sahabatnya bersama penduduk kampung sedang berusaha membangunkan Pusat Pendidikan al-Quran di atas tanah seluas dua ekar.

Namun, kata beliau, apa yang lebih membimbangkan ialah realiti sebenar pemilikan tanah di kawasan tersebut. Sebahagian besar tanah pertanian di kampung itu kini telah dibeli dan dimajukan oleh pihak luar, termasuk pelabur dari Kuala Lumpur dan Singapura, untuk projek agro-bisnes. Apa yang berlaku di Seremban ini hanyalah contoh kecil kepada fenomena yang sedang berleluasa di seluruh negara.

Tanah kita dikuasai orang,” tegas beliau. Satu kenyataan ringkas tetapi cukup dalam maknanya.

Hilangnya Tanah, Hilanglah Akar Kita

Jika pemilikan hartanah di bandar telah lama terlepas daripada genggaman orang Melayu, kini kampung-kampung pula menghadapi nasib yang sama. Tanah-tanah warisan yang dahulunya menjadi tempat berteduh, bercucuk tanam, dan membina generasi kini berpindah milik bukan kerana kekangan undang-undang, tetapi kerana kelemahan kita sendiri dalam menilai dan mempertahankan hak milik ini.

Beberapa saranan agar masyarakat Melayu segera insaf dan mula bertindak sebelum segalanya terlambat. Antara langkah penting yang perlu diambil termasuk:

  1. Mempertingkatkan kesedaran masyarakat Melayu tentang nilai tanah TRM sebagai aset jangka panjang.
  2. Mendesak pihak kerajaan negeri agar telus dan berintegriti dalam urusan penggantian dan pewartaan tanah TRM.
  3. Memperkasa ekonomi orang Melayu supaya mereka tidak mudah terdesak untuk menjual tanah warisan.

Tanah Rizab Melayu adalah hak milik bangsa yang tidak ternilai harganya. Kehilangannya bukan sahaja merugikan dari sudut ekonomi, tetapi juga dari sudut identiti dan kedaulatan. Jika hari ini kita lalai, esok kita akan hanya menjadi pemerhati, melihat tanah yang dahulu milik kita, kini bukan lagi dalam genggaman.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Perkasa Nadir Bumi: Kurangkan Kebergantungan Asing

Next Post

Pencerobohan Tanah Raub: Rotan vs Ribuan Ekar Musang King

Related Posts