Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam kenyataannya hari ini mencadangkan agar dasar baharu termasuk pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan (speed limiter) pada kenderaan berat termasuk bas.
Cadangan ini dikemukakan susulan begitu rancaknya berlaku kes kemalangan maut melibatkan kenderaan berat dan yang terbaru tragedi bas yang membawa pelajar UPSI telah memakan korban seramai 15 orang.
Tambah beliau, polisi berkenaan sedang diteliti secara menyeluruh termasuk mekanisme bagi menutup sebarang ruang manipulasi apabila ia dikuatkuasakan kelak.
Namun sebenarnya cadangan untuk memasang “speed limiter” ini sudah pun dikemukakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2016 ketika Kementerian Pengangkutan diterajui oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai.
“Speed Limiter” Sudah Dicadangkan Lama Dahulu Namun Seakan Tiada Kesinambungan
“Speed limiter” sudah pun diwajibkan dipasang pada semua bas ekspres di negara ini pada 2016 dengan peringkat awal semua bas baharu pada waktu itu perlu dipasang dengan alat tersebut tanpa sebarang pengecualian.
Datuk Seri Liow Tiong Lai telah pun memberi arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom untuk memastikan alat tersebut dipasang pada kenderaan berat.
Hal ini menunjukkan bahawa kes kemalangan maut melibatkan kenderaan berat sudah pun berlaku sekian lama dan hingga kini tragedi serupa masih berlaku.
Kini Anthony Loke mahu dasar yang pernah dilaksanakan sembilan tahun dahulu dilaksanakan kembali dan kenyataannya seakan-akan menunjukkan dasar itu tidak pernah dibuat pun sebelum ini.
Menghairankan jika beliau benar-benar tidak tahu ataupun dasar itu sebenarnya tidak pernah dilaksanakan bahkan mungkin tidak diperluasakan pun sebelum ini terhadap kenderaan berat.
Sepatutnya Anthony Loke cakna mengenai pelaksanaan dasar ini ketika beliau memegang portfolio Menteri Pengangkutan pada hari pertama lagi.
Beliau perlu cakna dengan segala pelaksanaan polisi dan dasar yang telah dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan sebelum ini bagi memastikan ianya telah dilaksanakan dengan baik ataupun memerlukan penambahbaikan.
Kenyataan beliau pada hari ini untuk melaksanakan “speed limiter” pada kenderaan berat menunjukkan seakan-akan ia tidak pernah dibuat ataupun itu hanya ucapan untuk menyedapkan hati rakyat sahaja ketika ditimpa musibah.