RUU PSB: Peluang Pembangunan atau Risiko Peminggiran Bumiputera?

TANJUNG MALIM – Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2024 (RUU PSB) yang dibawa kerajaan untuk mempercepat pembangunan semula kawasan bandar yang daif menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming sebelum ini membawa ahli Parlimen meninjau rumah usang sebagai bukti keperluan mendesak pembaharuan, manakala Perdana Menteri menunjukkan komitmen tinggi terhadap pelaksanaannya. Namun, menurut Ketua Pemuda Parti BERJASA, Meor Adzim berpandangan niat baik ini tidak memadai jika struktur perundangan dan impak jangka panjangnya tidak diteliti secara menyeluruh, khususnya dari sudut kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, RUU ini memperkenalkan ambang persetujuan lebih rendah bagi pembangunan semula iaitu 80% untuk bangunan bawah 30 tahun, 75% bagi lebih 30 tahun dan 51% untuk bangunan terbengkalai atau berbahaya. Ini bermakna projek pembangunan boleh diteruskan meskipun hampir separuh pemilik menolak. Contoh sebelum ini seperti di Kampung Manis, Pulau Pinang menunjukkan pendekatan berhati-hati diambil apabila penduduk hanya berpindah selepas rumah gantian disiapkan dan diserahkan secara percuma. Namun di Residensi Kerinchi, walaupun unit moden disediakan, kos penyelenggaraan tinggi dan perubahan komuniti menyebabkan ramai penduduk asal tidak mampu bertahan.

Dalam masa yang sama, program sedia ada seperti Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) telah menunjukkan keberkesanan membaiki bangunan lama tanpa mengusir penduduk. Negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina juga membuktikan pembangunan semula boleh dilakukan dengan mengekalkan komuniti asal.

RUU PSB turut memperkenalkan struktur pentadbiran baharu seperti Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan (JEP) dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JEN), dengan kuasa besar kepada JEP mengatasi PBT. Fasal 8 menyatakan PBT wajib berunding dengan JEP sebelum pelaksanaan, sekali gus mengurangkan kuasa autonomi PBT. Malah, peruntukan dalam RUU ini bertentangan dengan akta-akta sedia ada seperti Akta Hak Milik Strata 1985, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menjamin pampasan serta perlindungan pemilik asal secara lebih jelas.

RUU ini dikatakan diinspirasikan daripada negara maju seperti Singapura, Korea dan Jepun. Namun, model di negara-negara itu juga telah menyebabkan peminggiran komuniti asal. Misalnya, di Singapura, kawasan seperti Geylang Serai dirobohkan dan komuniti Melayu dipindahkan. Di Korea, projek-projek mega mencetuskan gentrifikasi yang menyebabkan penduduk setinggan hilang tempat tinggal. Namun Jepun menawarkan model alternatif yang lebih adil, seperti Akta Urban Renewal 1969 yang mewajibkan pembentukan koperasi pembangunan serta pemulangan penduduk dalam radius munasabah daripada lokasi asal.

Meor juga mencadangkan agar kerajaan hanya meminda akta sedia ada berbanding mewujudkan undang-undang baharu yang mengganggu struktur perundangan semasa. Antara cadangan pindaan termasuk:

Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486): Jika pampasan bukan tunai, nilai unit rumah mesti tidak kurang daripada nilai pasaran asal.

Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172): Menambah keperluan pelan pemulangan semula penduduk dalam tempoh tiga tahun selepas projek siap.

Akta Hak Milik Strata 1985 (Akta 318): Membolehkan pembangunan dengan 90% persetujuan, dengan pampasan setara dan alternatif tempat tinggal dijamin.

Beliau juga mengusulkan beberapa syarat jika kerajaan mahu meneruskan RUU ini:

  1. Jaminan rumah gantian bersijil dan milik sebelum sebarang pemindahan.
  2. Kawalan kos penyelenggaraan selama sekurang-kurangnya 10 tahun.
  3. Sekurang-kurangnya 30% tapak asal dikekalkan untuk kemudahan awam dan sosial.
  4. Jawatankuasa pemantau bebas perlu diwujudkan.
  5. Moratorium pemilikan selama 10 tahun untuk mengelak spekulasi hartanah.

Akhir sekali, Meor Adzim menegaskan bahawa beliau tidak menuduh kerajaan mahu mengusir rakyat bandar, tetapi struktur RUU ini membuka ruang ke arah itu. Beliau menyeru agar RUU PSB ditangguhkan dan diperhalusi semula dengan teliti, dengan mengambil inspirasi sebenar dari model seperti di Jepun yang menitikberatkan pemeliharaan komuniti, bukan keuntungan semata-mata.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Nakbah: Ini Perjuangan Kita Semua

Next Post

FRU Terlibat Nahas: Kecuaian atau Kelemahan Sistem?

Related Posts