Penahanan 12 orang rakyat Malaysia oleh rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla pada awal pagi tadi waktu Malaysia nyata menampakkan sikap pengecut rejim tersebut.
Peserta misi Global Sumud Flotilla bertujuan menuju ke Gaza hanya untuk memberi bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada barang keperluan asas seperti makanan dan minuman kepada rakyat Palestin di Gaza.
Bukan itu sahaja malahan penahanan mereka di laluan laut antarabangsa merupakan satu tindakan jenayah dan tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa ini merupakan satu tindakan penculikan terhadap pihak yang datang dengan aman.
Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak 13 buah bot dan kapal misi Global Sumud Flotilla ditahan oleh rejim Zionis.
PMX Wajar Lebih Agresif Demi Keselamatan Peserta Misi Global Sumud Flotilla
Setelah tibanya berita penahanan mereka ini, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan penculikan ini yang dilakukan secara tidak sah terhadap pihak yang tidak membawa senjata dan berlaku di perairan antarabangsa.
Sewajarnya seluruh rakyat Malaysia harus bersatu padu dalam menyokong kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini di kala negara Arab lain masih diam membisu.
Walaubagaimanapun, beliau juga sewajarnya terus bertindak agresif dengan menghubungi Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump untuk memastikan misi kemanusiaan ini berjaya dan peserta misi dalam keadaan selamat tanpa gangguan rejim Zionis.
Tahun 2025 merupakan tahun untuk Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan Malaysia menjadi tuan rumah untuk menerima kedatangan Donald Trump ke Kuala Lumpur untuk Persidangan ASEAN 2025.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan tuan rumah Persidangan ASEAN sewajarnya menekan Amerika Syarikat untuk menghalang rakan baiknya iaitu rejim Zionis daripada menghalang misi kemanusiaan ini menuju ke Gaza.
Situasi ini yang menguji kekuatan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang mana sebelum ini kerajaan menggunakan istilah hubungan diplomatik untuk ‘menghalalkan’ kedatangan Donald Trump ke Malaysia.
Tunjukkan Kepada Trump Siapa Kita
Kedatangan Trump ke Malaysia patut disambut dengan tekanan, cemuhan dan kejian kerana beliau tidak berselindung menyokong rakannya Benjamin Netanyahu dalam operasi genosid di Gaza.
Trump juga menawarkan resolusi keamanan yang berat sebelah untuk rakyat Gaza dengan ingin meletakkan kerajaan sementara – diluluskan oleh Amerika Syarikat dan Isarel untuk mentadbir Gaza.
Tiada jaminan rakyat Palestin akan terus merdeka di atas tanah air sendiri jika pemimpin yang akan memimpin mereka ditentukan oleh pihak luar.
Tunjukkan kepada Trump siapa rakyat Malaysia yang sebenarnya.
Usahlah sambut beliau dengan penuh kehormatan kerana jelas beliau adalah rakan subahat kepada jenayah perang yang dikehendaki dunia iaitu Benjamin Netanyahu.