Penahanan pegawai tentera yang didakwa sebagai dalang sindiket penyeludupan di selatan tanah air nyata menggemparkan satu Malaysia.
Di dalam Ops Sohor yang dijalankan oleh Bahagian Risikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS), lima pegawai kanan tentera ditahan di sekitar Lembah Klang dalam operasi tersebut.
Dalam laporan tersebut menyatakan lima pegawai tentera yang ditahan itu merupakan anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) yang sepatutnya bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat penting terutamanya dalam soal keselamatan negara.
Sogokan yang diberikan kepada pegawai di bahagian risikan ini nyata membimbangkan kerana menampakkan begitu mudah aset benteng negara ini dibeli oleh wang.
Sudah lah Malaysia dilanda dengan krisis aset pertahanan dan senjata yang begitu usang kini berhadapan dengan krisis integriti dalam kalangan pegawai kanan tentera.
Bukan Sekadar Aset Pertahanan, Kemenjadian Integriti Pegawai Tentera Juga Perlu Jadi Fokus Utama
Malaysia yang sebelum ini mempunyai 7 buah jet pejuang Hornet kini hanya tinggal 6 buah sahaja selepas sebuah jet pejuang Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilanda kemalangan di Kuantan semalam.
Ruang udara Malaysia begitu luas untuk dilindungi meliputi Laut China Selatan yang menjadi kawasan rebutan antara negara Asia Tenggara dengan China maka jumlah jet pejuang jenis Hornet dan jenis yang lain seperti Sukhoi (18 buah) dan Hawk (16 buah) sebenarnya tidak mencukupi.
Ditambah pula dengan pegawai kanan yang tidak berintegriti dan amanah, maka persoalan tentang keterjaminan keselamatan negara boleh dipersoalkan oleh ramai pihak.
Kerajaan sebelum ini begitu memfokuskan kepada usaha menggantikan aset tentera yang usang namun tidak begitu menitikberatkan soal integriti pegawai tentera.
Pegawai tentera dan anggota pihak berkuasa yang lain tanpa mengira pangkat juga merupakan aset pertahanan negara maka kemenjadian mereka perlu juga dipandang berat oleh kerajaan.
Kenakan Hukuman Yang Berat Kepada Pegawai Tentera Yang Menjadi Dalang Sindiket
Ketua Pemuda BERJASA, Meor Azim berpendapat langkah yang tegas dan berat perlu diambil terhadap pesalah ini bagi memastikan tidak akan berlaku lagi kejadian yang serupa.
Hukuman berat yang dijalankan nanti perlu dijadikan sebagai iktibar kepada semua pegawai bahawa tiada tempat untuk pengkhianat dalam menyarung uniform tentera.
Pegawai beruniform sepatutnya sedar bahawa menyarung uniform adalah satu kebanggan kepada diri kerana memegang tanggungjawab yang besar dalam menjaga keselamatan, keamanan dan maruah negara.