Parti BERJASA Lihat Kabinet Baharu MADANI Cacat

kabinet baharu madani

Rombakan kabinet baharu MADANI yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat oleh parti BERJASA masih cacat dan tidak cukup untuk meyakinkan rakyat Malaysia.

Rakyat kini berhadapan dengan masalah tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi namun rombakan kabinet yang dibuat semalam tidak menampakkan usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah berikut.

Rakyat tidak mahukan perubahan yang dibuat sekadar untuk mencantikkan imej kabinet kerajaan sahaja tetapi menginginkan barisan kabinet yang mampu menonjolkan kepimpinan yang berfungsi dan berorientasikan hasil.

Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif melihat pengekalan beberapa barisan menteri seperti Menteri Pelancongan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Menteri Pendidikan menimbulkan persoalan terhadap tahap kepekaan kerajaan terhadap sentimen masyarakat.

Beliau melihat barisan menteri ini yang patut diutamakan oleh Perdana Menteri untuk ditukar berdasarkan kepada rekod mereka yang begitu kontroversi sehingga menimbulkan ketidakpuashatian rakyat.

Dasar-dasar mereka mengarut dan tidak bijak dalam menyelesaikan masalah ketika kementerian mereka berdepan dengan kritikan.

Bukan itu sahaja malahan pengekalan jawatan Menteri Kewangan yang disandang oleh Perdana Menteri juga dilihat sebagai hipokrasi terbesar Pakatan Harapan (PH) yang berjanji dahulu untuk memisahkan dua kuasa ini untuk disandang secara bersama.

DAP Menang Besar Dalam Rombakan Kabinet Baharu MADANI

Mohd Hamdan Mohd Sharif yang mewakili BERJASA melahirkan kebimbangan dengan melihat pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

DAP boleh dikatakan sebagai pihak yang menang besar kerana mendapat dua jawatan penting iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang didsandang oleh Nga Kor Ming dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

“Mengapa saya boleh katakan ia sebagai satu kemenangan yang besar kepada DAP? Saya melihat DAP akan lebih mudah untuk melakukan dasar URA dan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan memegang dua posisi strategik ini”.

“Sedangkan saya lihat banyak lagi isu yang boleh diselesaikan oleh kerajaan terutamanya isu kos sara hidup rakyat yang begitu menghimpit mereka”, tegas beliau.

Individu Kontroversi Dilantik Sebagai Timbalan Menteri Agama

Kerajaan dilihat cuai dalam membuat tapisan individu untuk dilantik sebagai menteri di dalam kabinet kerajaan dengan melantik individu kontroversi sebagai Timbalan Menteri Agama.

Individu tersebut mempunyai rekod yang tidak begitu cantik seperti kes penipuan emas, fahaman agama yang meragukan dan kredit yang tidak meyakinkan untuk beliau menjawat jawatan tersebut.

Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membuat “due diligence” sebelum melantik sesiapa untuk menyertai kabinet kerajaan?

Begitu jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak serius dalam melakukan rombakan kabinet ini untuk kesejahteraan negara kerana jawatan itu amat penting dalam memelihara kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara.

BERJASA Desak Lakukan Pembetulan Terkini Untuk Lantikan Kabinet Baharu

BERJASA berpendapat masih ada ruang untuk kerajaan melaksanakan pembetulan kepimpinan secara menyeluruh berasaskan prestasi dan kebertanggungjawaban serta memecat menteri dan timbalan menteri yang tidak berfungsi dengan baik.

Sewajarnya kerajaan memastikan pelantikan menteri dibuat berdasarkan keupayaan, rekod prestasi dan penerimaan awam.

Jika kerajaan ingin berjaya dalam memulihkan imejnya di mata rakyat, segala desakan yang dilaungkan oleh rakyat dan pembangkang wajar diambil serius oleh kerajaan.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
harga beras import

Harga Beras Import Turun, Kadar Beli Beras Tempatan Sekitar 10-15%

Related Posts