Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan kenyataan media semalam dengan mengatakan SPRM akan menyiasat tohmahan yang dilemparkan kepada bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Akin.
Susulan daripada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam kenyataannya berkata Shamsul Iskandar bersama ahli perniagaan yang didakwa memberi rasuah iaitu Albert Tei akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.
Tindakan SPRM ini boleh diberikan pujian kerana pantas melakukan siasatan terhadap dua individu tersebut namun amat melucukan kerana SPRM menggunakan perkataan “tohmahan” sedangkan banyak lagi perkataan yang sesuai boleh digunakan seperti “tuduhan” ataupun “dakwaan”.
Penggunaan “tohmahan” langsung tidak sesuai dengan konteks isu yang sedang melanda politik negara ini kerana seakan SPRM mengeluarkan kenyataan bagi pihak yang berkepentingan iaitu parti PKR dan Shamsul Iskandar itu sendiri.
Penggunaan “Tohmahan” Oleh SPRM Seakan Siasatan Sudah Selesai Dibuat
Penggunaan “tohmahan” ini hanya sesuai digunakan oleh SPRM jika siasatan terhadap Shamsul Iskandar dan Albert Tei sudah selesai dijalankan.
Setelah selesai siasatan dijalankan, penggunaan “tohmahan” baru sesuai digunakan jika dua orang tersebut terbukti secara jelas tidak bersalah dalam isu yang sedang mereka terpalit ini.
Tindakan SPRM menggunakan perkataan yang tidak sesuai ini telah mencalarkan imej mereka sebagai badan pesuruhanjaya yang bebas.
Rakyat sudah mula menghidu sesuatu yang tidak baik apabila SPRM mengeluarkan kenyataan yanag sedemikian rupa.
Persoalannya adakah ada wujud niat untuk melindungi pihak yang berkepentingan dalam isu ini memandangkan Shamsul Iskandar merupakan ahli politik dalam partri PKR yang membentuk komponen kerajaan sekarang?
Sungguh besar harapan rakyat Malaysia untuk melihat siasatan telus yang dijalankan oleh SPRM terhadap dua individu tersebut.