Luahan dan aduan seorang pempengaruh media sosial dalam bidang teknologi kewangan (financial technology), Kauthar Rozmal tentang tindakan syarikat Touch N Go yang membekukan akaunnya tanpa sebab utama menimbulkan keraguan mengenai kemajuan teknologi di Malaysia.
Keraguan ini wajar diberikan perhatian kerana Kauthar mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Touch N Go bahawa tindakan pembekuan akaun itu dibuat atas sebab wujudnya keraguan akaun tersebut digunakan sindiket penipuan dalam talian sedangkan beliau tidak mengetahui langsung mengenai perkara sedemekian.
Beliau hanya mengetahui akaun “e-wallet” milik beliau dibekukan tanpa penjelasan yang memuaskan dan kenyataan media itu seakan-akan menuduh beliau sebagai punca utama masalah.
Apabila ditelusuri komen warga Facebook di akaun beliau, ramai pengguna Touch N Go yang pernah mengalami keadaan sedemikian rupa hinggakan ada individu yang hilang wang berjumlah RM10,000 dalam sekelip mata.
Hal ini terdapat dua masalah yang boleh dilihat melalui isu ini iaitu ketidakcekapan pihak Touch N Go dalam memberikan maklum balas kepada masalah yang dihadapi oleh Kauthar dan kelemahan sistem keselamatan Touch N Go itu sendiri.
Jika benar begini respon yang diberikan oleh Touch N Go yang seakan acuh tak acuh untuk menjernihkan masalah yang sedia ada, tidak mustahil syarikat yang sudah lama memonopoli sistem pembayaran plaza tol di lebuhraya Malaysia boleh jatuh begitu sahaja.
AI Dijadikan Penanda Aras Untuk Kemajuan Teknologi Di Malaysia Namun Adakah Benar Selamat?
Tidak cukup dengan isu yang melanda sistem keselamatan fintech, rakyat Malaysia juga wajar khuatir mengenai tahap keselamatan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Laporan di luar negara terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) melaporkan wujudnya statistik yang tinggi mengenai kes bunuh diri berpunca daripada penggunaan AI yang kerap.
Sebahagian daripada mereka terlalu kerap menggunakan aplikasi AI seperti ChatGPT hingga mengasingkan mereka dengan dunia luar.
Mereka akan berasa murung dan akhirnya mengambil keputusan menamatkan riwayat hidup hingga ada sumber yang mengatakan pihak berkuasa menemui bukti soalan di aplikasi ChatGPT milik si mati tentang cara untuk menamatkan riwayat hidup dengan mudah.
Selain daripada perubahan interaksi sosial manusia, teknologi AI juga mencetuskan suasana yang panik terhadap kesihatan fizikal rakyat.
Hal ini berdasarkan sumber laporan daripada Futurism yang mengatakan pusat data milik Amazon yang dibina di Oregon telah menyebabkan tahap kesihatan penduduk sekitar menurun dan mendapat penyakit kronik seperti kanser, keguguran dan kegagalan buah pinggang.
Penduduk mendakwa ia berpunca daripada sumber air yang dikongsi bersama pusat data milik Amazon yang menyebabkan mereka mendapat penyakit tersebut.
Semakan terhadap 70 telaga air (wells) menunjukkan 68 daripadanya mencatat paras nitrat melebihi had maksimum persekutuan untuk air minuman.
Dalam kira-kira 30 rumah pertama yang diperiksa, 25 keluarga melaporkan keguguran baru-baru ini, dan enam orang kehilangan buah pinggang.
Dakwaan ini tidak dibuktikan dengan bukti saintifik yang kukuh namun memang benar pusat data menggunakan sumber air bawah tanah yang sama digunakan oleh penduduk untuk minum bagi kegunaan penyejukan pusat pelayan (server).
Air yang digunakan itu akan dibuang semula ke sistem buangan dengan membawa bersama nitrat yang paras nitratnya dalam air tidak selamat diminum oleh manusia.
Kerajaan Wajar Perluaskan Lagi Undang-Undang Keselamatan Untuk Fintech & AI
Kerajaan boleh diberikan pujian kerana telah mengambil langkah awal dengan menggubal dan merangka draf undang-undang khusus bagi memastikan AI di Malaysia dibangunkan secara selamat, beretika dan mematuhi piawaan antarabangsa.
Selain daripada tindakan penapisan berita palsu yang dihasilkan melalui AI, kerajaan amat diharapkan boleh menetapkan undang-undang begitu ketat untuk mana-mana syarikat yang ingin membuka pusat data di Malaysia bagi kegunaan teknologi AI.
Kerajaan boleh menetapkan peruntukan di dalam undang-undang bahawa syarikat yang membuka pusat data di Malaysia perlu menguruskan sumber air dengan lebih cermat agar tidak mendatangkan isu pencemaran air.
Dalam soal masalah kemurungan yang dihadapi oleh manusia akibat pengunaan aplikasi AI yang terlalu tinggi, kerajaan boleh mantapkan lagi kempen kesedaran kesihatan mental rakyat Malaysia.
Teknologi AI boleh menjadi alat bantuan yang berguna tetapi dalam masa yang sama boleh mendatangkan mudarat yang besar kepada masyarakat jika tidak digunakan dengan baik.
Tumpuan juga wajar diberikan kepada isu tahap keselamatan fintech di Malaysia dengan mengambil isu yang melanda Touch N Go sebagai rujukan kes.
Kes yang melanda Kauthar bukan isu yang pertama pernah berlaku di Malaysia maka kerajaan sepatutnya melihat isu ini dengan lebih serius.
Memang benar pengguna boleh mengajukan aduan ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengambil tindakan tetapi isu ini lebih baik kerajaan mengambil cakna bagi mengenakan denda yang lebih ketat terhadap syarikat yang cuai dalam menjaga kepentingan pelanggan.