Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim, mengkritik pendekatan menteri agama yang menurutnya lebih memilih untuk “mengajar daripada menghukum” dalam kes pelajar yang didakwa memijak al-Quran.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai melanggar “garis merah” kerana al-Quran merupakan kitab suci paling tinggi dan mulia dalam Islam.
“Saya kecewa dengan pandangan menteri agama yang lebih memilih pendekatan mendidik daripada menghukum. Cara mendidik mesti sampai mesej supaya tidak sesekali menghina al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan.
Cadang lucut kewarganegaraan
Zamani turut mencadangkan agar pelajar terbabit dilucutkan kewarganegaraan sebagai hukuman, dengan alasan untuk kembali menyedarkan pelajar tersebut tentang hakikat Malaysia sebagai negara beragama dan tindakan tegas perlu diambil bagi mempertahankan kesucian Islam.
“Pelajar yang memijak al-Quran itu wajar dilucutkan kewarganegaraan. Dia perlu sedar negara ini adalah negara beragama, negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama persekutuan” katanya.
‘Jika tak mampu, lepaskan jawatan’
Dalam kenyataan sama, beliau mengingatkan bahawa tugas dan kuasa tertinggi menteri agama adalah menjaga kepentingan agama.
“Jika tidak mampu menjaga agama, lepaskan jawatan. Itu lebih mulia daripada ada kuasa tetapi tidak menjaga agama,” katanya lagi.
Zamani turut mendakwa sekiranya semua ahli parlimen Melayu Islam tidak berani bersuara mempertahankan kesucian agama, beliau sedia menawarkan diri untuk memegang jawatan menteri agama.
Isu berkenaan terus mencetuskan perdebatan awam berhubung pendekatan terbaik antara pendidikan dan tindakan undang-undang dalam menangani kes penghinaan terhadap agama.