Cadangan penganjuran festival musikal air yang dicadangkan oleh Kementerian Pelancongan pada Mei ini, perlu dilihat serius kerana sepertinya terlalu terikut-ikut dengan budaya luar dan asing serta tidak mengambil kira realiti nilai, budaya dan sensitiviti masyarakat Malaysia.
Usaha mempromosikan sektor pelancongan tidak seharusnya mengorbankan identiti nasional, adab ketimuran dan keseimbangan sosial yang menjadi asas keharmonian negara sejak sekian lama.
Tidak Sepadan Dengan Nilai Dan Realiti Masyarakat Malaysia
Pelu ditegaskan bahawa konsep festival musikal air yang dicadangkan dilihat tidak sepadan dengan nilai budaya dan norma masyarakat Malaysia, khususnya majoriti rakyat yang telah lama berpegang kepada adab sopan, kesederhanaan dan sensitiviti agama.
Azliza Rajiain yang merupakan Ketua Pemudi Berjasa berkata, peniruan konsep hiburan luar tanpa penyesuaian konteks tempatan berpotensi mencetuskan keresahan masyarakat serta membuka ruang kepada budaya keterlaluan yang bercanggah dengan realiti sosial negara.
Malaysia sepatutnya tidak menyasarkan untuk menjadi sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebuah negara berdaulat yang mempunyai nilai, batas dan identiti tersendiri yang rakyat dan pimpinannya berlumba-lumba untuk persembahkan kepada pelancong-pelancong yang hadir.
Terikut Budaya Global Tanpa Tapisan Berprinsip
Beliau juga berpandangan cadangan tersebut gagal mencerminkan identiti nasional Malaysia yang dibina atas asas budaya tempatan, kesantunan, kepelbagaian yang harmoni serta penghormatan terhadap agama dan adat.
“Acara sebegini dilihat terlalu terikut-ikut dengan arus budaya global dan keterbukaan tanpa tapisan yang berprinsip, yang akhirnya boleh menghakis jati diri nasional serta mengaburkan imej Malaysia sebagai negara yang berbudaya, beradab dan berprinsip. Adakah kita hendak melahirkan generasi yang hilang jati diri dan adabnya?”, soalnya.
Menurut beliau, promosi pelancongan seharusnya menampilkan keunikan Malaysia, bukan menjadikan negara ini salinan kepada budaya hiburan asing yang tidak selari dengan nilai tempatan.
Seruan Acara Yang Mengukuhkan Jati Diri Dan Mencegah Krisis Sosial
Sehubungan itu, Ketua Pemudi Berjasa menyeru agar sebarang cadangan acara pelancongan dan hiburan dirangka dengan mengambil kira keperluan untuk mengukuhkan jati diri nasional, mengekalkan imej Malaysia sebagai negara yang sopan dan santun, serta tidak menjadi pencetus kepada krisis sosial pada masa hadapan.
“Kita tidak mahu anak-anak dinormalisasikan dari umur muda dengan aktiviti anjuran kementerian yang tidak begitu bermanfaat malah hilang makna dan falsafah sebagai rakyat beragama dan bernegara. Pelbagai impak sosial negatif boleh wujud hanya dengan penganjuran festival seperti itu seperti percampuran antara dua jantina, aurat masyarakat majoriti yang beragama Islam berpotensi tidak terjaga, pembaziran bekalan air dan sebagainya“, tegasnya.
BERJASA menekankan bahawa penganjuran acara berskala besar perlu dinilai dari sudut impak sosial, moral dan budaya, bukan sekadar pulangan ekonomi jangka pendek. Antara acara lain yang lebih dilihat mempunyai identiti nasional seperti Festival Wau, Gasing, Kraf, Dikir Barat, Wayang Kulit, Makanan Tradisional, Permainan Tradisional, Tarian dan lain-lain yang lebih memaparkan identiti keseluruhan rakyat Malaysia.
Ambil Kira Suara Majoriti Masyarakat Islam
Kerajaan perlulah merasakan keperluan untuk mengambil kira suara dan pandangan majoriti masyarakat Islam di Malaysia yang merupakan tunjang kestabilan dan identiti negara.
Prinsip “keterangkuman” tidak boleh digunakan untuk mengetepikan pandangan majoriti rakyat, khususnya dalam isu yang melibatkan nilai, moral dan imej negara.
Memetik responnya terhadap Presiden Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia (Mita), Mint Leong yang mana menasihatkan PAS untuk bersikap terbuka dan tidak begitu awal menghukum. “Keterbukaan itu perlu tapi bukan sehingga menggadaikan prinsip dan imej negara ini sebagai negara yang beragama. Malaysia tidak perlu era baru dalam pelancongan, hanya perlu konsisten dalam mengekalkan imej dan identiti tersendiri itu lebih baik dan layak untuk dibanggakan”, bidasnya.
Dialog, rundingan dan penelitian menyeluruh wajar dilakukan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat, bagi memastikan dasar pelancongan tidak bercanggah dengan aspirasi majoriti rakyat.
Pelancongan Beridentiti, Bukan Tanpa Arah
Pembangunan pelancongan Malaysia mesti berteraskan identiti nasional, nilai budaya tempatan dan keseimbangan sosial, bukan sekadar meniru trend global tanpa arah dan pertimbangan.
Malaysia tidak memerlukan acara yang mengundang kontroversi untuk dikenali dunia, sebaliknya perlu menampilkan kekuatan sebenar negara yakni budaya yang kaya, masyarakat yang beradab dan jati diri yang kukuh.
BERJASA akan terus bersuara mempertahankan nilai, budaya dan keharmonian negara agar Malaysia kekal dihormati, bukan sekadar dipertontonkan.