BERJASA menyifatkan kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun sebagai satu kemunduran besar dalam usaha memperkukuh reformasi institusi negara.
Dalam satu kenyataan, Hamdan Sharif yang merupakan Ketua Penerangan BERJASA berkata cadangan tersebut selaras dengan janji reformasi institusi yang sebelum ini dilaungkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
Menurutnya, had tempoh jawatan merupakan antara amalan tadbir urus yang diamalkan di banyak negara demokrasi maju sebagai mekanisme semak dan imbang bagi mengelakkan pemusatan kuasa berpanjangan serta mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa.
Persoal komitmen reformasi
BERJASA berkata kegagalan meluluskan RUU berkenaan menimbulkan persoalan terhadap komitmen sebenar kepimpinan negara, khususnya Pakatan Harapan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri terhadap agenda reformasi.
“Sekiranya benar prinsip pembaharuan dan integriti menjadi teras pentadbiran, maka had tempoh jawatan Perdana Menteri wajar disokong secara konsisten tanpa bersyarat,” menurut kenyataan itu.
Parti itu juga berpandangan kehadiran penuh ahli Dewan Rakyat bagi proses pengundian adalah penting bagi menunjukkan kesungguhan politik dalam menjayakan reformasi tersebut.
‘Reformasi perlu keberanian politik’
BERJASA menegaskan had tempoh 10 tahun adalah munasabah dan seimbang, yang mana ia cukup untuk memastikan kesinambungan dasar, namun tidak terlalu lama sehingga menjejaskan dinamika demokrasi.
Selain itu, parti berkenaan menegaskan reformasi institusi tidak boleh bersifat retorik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui keberanian kehendak politik.
Menurutnya, Dewan Rakyat sebagai institusi legislatif tertinggi perlu mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu atau parti.
BERJASA turut menyeru agar cadangan tersebut dibawa semula dengan komitmen rentas parti demi memastikan sistem demokrasi Malaysia lebih telus, bertanggungjawab dan berintegriti.
“Negara memerlukan kepimpinan yang berani mengehadkan kuasa dirinya sendiri dan itulah tanda sebenar keikhlasan dalam membawa perubahan,” katanya.