Akta Pembaharuan Semula Bandar yang sebelum ini ditangguhkan bacaan dan pembentangannya ke bulan Oktober adalah kerana wujudnya penentangan dari pihak pembangkang malah segelintir individu dari kerajaan sendiri. Kebimbangan itu diterjemahkan oleh pelbagai platform sama ada di media sosial mahupun menerusi himpunan-himpunan yang dianjurkan oleh mereka yang tidak sependapat dengan apa yang ingin dibawa oleh ahli Parlimen DAP ini.
Walau bagaimanapun, Nga Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap komited untuk meneruskan pembentangan RUU URA ini dan menyifatkan segala penentangan hanyalah permainan sentimen dan politik. Timbalan Pengerusi BN, Datuk Mohamad Hasan juga memberi penegasan bahawa undang-undang baharu itu perlu diteliti semula dengan memberi ruang kepada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk penduduk terjejas.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata terlalu banyak kelemahan dan kelompongan yang ada dalam cadangan Akta yang akan dibaca 6 Oktober ini. Beliau memberi penekanan kepada Ahli Parlimen Melayu Islam untuk melihat agenda yang dibawa Ahli Parlimen DAP ini secara tersirat. Beliau menegaskan kita sebagai tuan tanah yang sepatutnya menentang akta yang merosakkan dan memudarkan keistimewaan tanah melayu.
“Wahai Ahli Parlimen Melayu UMNO, AMANAH, PKR, PAS mahupun BERSATU, usah memberi kepercayaan dengan mudah kepada DAP kerana sejak dari azali, mereka berani membawa agenda Malaysian Malaysia, sering menyusahkan kita dalam negara yang meletakkan keistimewaan Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan. Lidah mereka sudah banyak kali mengatakan negara ini bukan negara Islam. Mereka juga bersungguh-sungguh mendapatkan pengiktirafan UNESCO di kawasan Kg Baru Cina hatta pembangunan di Pulau Pinang juga akhirnya menghambat orang Melayu keluar dari tanah mereka”, tambahnya lagi.
Ustaz Zamani Ibrahim mengajak dan menyeru setiap Ahli Parlimen Melayu Islam untuk merenungi Surah Ali-Imran ayat ke 118 yang menekankan tentang pentingnya untuk tidak memberi ‘orang luar’ kepercayaan terutama yang sudah jelas menimbulkan kebencian dan berpotensi membuka ruang kemudaratan kepada kita. Beliau juga memesan supaya Ahli Parlimen menjadi orang yang bijak dan matang berfikir serta melihat segala cadangan akta atau polisi dalam neraca syariat dan Al-Quran. Beliau merasakan, kepentingan parti dan individu sepatutnya tidak didahului melebihi kepentingan bangsa dan agama.