Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa telah merancang untuk membangunkan Kota Madani di Putrajaya.
Beliau berkata kepada media bahawa konsep pembangunan Kota Madani Putrajaya telah dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka siap pada tahun 2027.
Cadangan pembangunan Kota Madani telah pun dikemukakan oleh kerajaan pada 1 Januari yang lalu di mana Dr Zaliha mengumumkan visi Bandar Chase untuk mentransformasikan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan menjadi bandar yang Clean (bandar bersih), Healthy City (bandar sihat), Advanced City (bandar maju), Safe City (bandar selamat) dan Eco Friendly City (bandar mesra alam).
Tambah beliau lagi, Kota Madani yang bakal dibina ini akan menjadi asas kepada sebuah bandar rendah karbon yang menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.
Namun demikian, rakyat semestinya ingin mengetahui apakah kelengkapan yang akan didirikan di Kota Madani selaras dengan visi Bandar Chase.
Projek Kota Madani Untuk Menjadi Bandar Masa Depan
Fungsi utama Kota Madani yang ingin dibangunkan oleh kerajaan Malaysia untuk menjadi model bandar masa depan yang berteraskan kepada prinsip kelestarian, keterangkuman, teknologi hijau dan nilai-nilai Madani.
Melalui projek Kota Madani, kerajaan akan menyediakan 10,000 unit rumah mampu milik sekitar harga RM200,000 yang disasarkan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Rumah yang dibina ini adalah berfokuskan kepada pemilikan rumah bukannya sekadar sewaan. Hal ini diharapkan akan meningkatkan kadar pemilikan rumah oleh rakyat tempatan.
Selain dilengkapi dengan projek perumahan mampu milik, Kota Madani direka bentuk sebagai bandar hijau dan mesra alam yang menekankan sistem mobiliti hijau seperti bas elektrik dan laluan pejalan kaki serta berbasikal.
Bandar hijau yang dibangunkan ini akan dilengkapi dengan teknologi seperti sistem penyejukan berpusat dan tenaga boleh diperbaharui.
Teknologi kecerdasan buatan (AI) telah menjadi satu fenomena yang diguna pakai oleh kebanyakan negara di dunia dan Kota Madani tidak ketinggalan mengimplimentasi teknologi ini bersama infrastruktur digital.
Hal ini bagi menjadikan pentadbiran, pergerakan dan kehidupan harian lebih cekap dan bersepadu termasuk pemantauan keselamatan secara pintar dan perkhidmatan awam berautomasi.
Kerajaan Patut Fokuskan Juga Tingkatkan Kemudahan Pengangkutan Awam
Malaysia sebenarnya sudah begitu padat dengan pembangunan urban yang menyebabkan kepadatan penduduk yang begitu tinggi di sesuatu kawasan.
Wujud solusi yang telah dijalankan oleh kerajaan bagi memudahkan pergerakan penduduk di kawasan tersebut dengan mewujudkan sistem pengangkutan awam yang terdiri daripada laluan MRT dan LRT namun ia tidak cukup menyelesaikan masalah.
Kerajaan pernah mengadu bahawa tidak sampai 20 peratus rakyat negara ini menggunakan pengangkutan awam berbanding 40 peratus yang disasarkan oleh kerajaan.
Kerajaan sepatutnya menyemak kembali kelemahan sistem pengangkutan awam Malaysia yang menyebabkan rakyat tidak berminat untuk menggunakannya.
Rakyat yang menjadi pengguna harian pengangkutan awam terutamanya di kawasan Lembah Klang kebanyakkanya tidak berpuas hati dengan kekerapan yang rendah di luar waktu puncak dan kawasan luar bandar untuk pengangkutan bas.
LRT dan MRT pula kadangkala menghadapi gangguan teknikal yang berulang sehingga menyukarkan rakyat untuk sampai ke destinasi dituju tepat pada waktunya.
Bukan itu sahaja malahan capaian pengangkutan awam juga terhad di kawasan luar bandar atau pinggir bandar seperti di negeri-negeri selain Lembah Klang.
Mungkin selepas ini kerajaan perlu menyeimbangkan sekali pembangunan bandar dengan sistem pengangkutan awam yang lebih efisien.
Dalam statistik yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today (FMT), Malaysia berdepan realiti kepadatan kenderaan dengan 38.7 juta kenderaan berdaftar dalam negara sehingga akhir 2024 yang bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk