Cecair nikotin: Wanita BERJASA gesa kerajaan wartakan semula cecair nikotin bawah Akta Racun 1952 – Dr Fadilah Ashari, Ketua Wanita BERJASA

cecair nikotin
cecair nikotin

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Wanita BERJASA menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan tindakan mengecualikan cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952 sebagai tidak sah di sisi undang-undang, sambil menggesa kerajaan segera memasukkan semula bahan itu ke dalam senarai kawalan akta berkenaan.

Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadilah berkata keputusan mahkamah pada 15 Mei lalu merupakan “peringatan penting” bahawa dasar kesihatan awam tidak boleh digubal berdasarkan pertimbangan ekonomi semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan rakyat, khususnya generasi muda.

“Keputusan ini menunjukkan kerajaan mesti menggubal dasar kesihatan awam secara bertanggungjawab dan berasaskan bukti saintifik,” katanya.

Mahkamah memutuskan Dr Zaliha Mustafa bertindak tidak rasional dan menyalahi undang-undang apabila mengecualikan cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952 pada 2023.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman turut memutuskan bahawa keputusan tersebut lebih dipengaruhi pertimbangan berkaitan hasil duti eksais berbanding perlindungan kesihatan awam.

Vape remaja semakin membimbangkan

Dr Fadilah berkata pelonggaran kawalan nikotin pada 2023 mendorong peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja Malaysia.

Beliau berkata NHMS 2022 merekodkan penggunaan vape remaja 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8 kepada 14.9 peratus.

“Lebih membimbangkan apabila kadar penggunaan dalam kalangan remaja lelaki mencecah 23.3 peratus. Ini bukan lagi isu kecil tetapi ancaman serius kepada kesihatan generasi muda,” katanya.

Menurut beliau, nikotin merupakan bahan psikoaktif yang sangat ketagihan dan boleh menjejaskan perkembangan otak remaja sehingga usia 25 tahun.

Pendedahan awal kepada nikotin boleh mengganggu fungsi tumpuan, kawalan emosi dan pembelajaran, selain meningkatkan risiko ketagihan jangka panjang,” katanya.

Dakwa wujud produk tidak telus

Dr Fadilah turut membangkitkan kebimbangan terhadap lambakan produk vape yang didakwa dilabel sebagai “bebas nikotin” tetapi sebenarnya mengandungi bahan tersebut.

Katanya, terdapat juga kes melibatkan cecair vape yang dicampur dengan dadah sintetik sehingga menimbulkan risiko lebih besar kepada pengguna.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan pernah merekodkan lebih 100 kes keracunan nikotin antara 2015 hingga 2023, majoritinya membabitkan kanak-kanak kecil.

“Dalam keadaan kawal selia yang longgar sebelum pelaksanaan Akta 852, isu ketelusan kandungan produk menjadi sangat kritikal,” katanya.

Seru penguatkuasaan lebih tegas

Dalam pada itu, Wanita BERJASA menggesa kerajaan memperkukuh pelaksanaan Akta 852 termasuk mengembalikan semula peruntukan Generasi Penamat (GEG).

Menurut Dr Fadilah, pengguguran GEG merupakan satu pengunduran dasar yang mengecewakan banyak pihak dalam sektor kesihatan awam.

Beliau berkata kerajaan perlu mengharamkan semua perisa vape selain tembakau kerana perisa buah-buahan dan gula-gula menarik minat remaja.

“Strategi pemasaran agresif termasuk promosi media sosial dan reka bentuk produk tanpa kawalan telah menormalisasikan budaya vape,” katanya.

Cadang tujuh langkah segera

Sehubungan itu, Wanita BERJASA mengemukakan tujuh cadangan termasuk mewartakan semula cecair nikotin di bawah Akta Racun 1952 dalam tempoh 30 hari.

Selain itu, parti itu turut mencadangkan pelaksanaan semula GEG, amaran kesihatan bergambar, pengharaman perisa vape dan deklarasi konflik kepentingan dalam dasar kesihatan.

Dr Fadilah berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu wajar dijadikan peluang memperbetulkan dasar tanpa penelitian saintifik mencukupi.

“Generasi muda Malaysia tidak boleh menjadi mangsa kompromi antara hasil cukai dan kesihatan awam,” katanya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
political financing act

Political Financing Act; BERJASA calls to expedite the Act to curb foreign political funding

Related Posts