AS Setuju Turun Tarif Kepada 19% Untuk Malaysia, Terima Timbal Balas Dapat REE Daripada Malaysia?

tarif as malaysia

Amerika Syarikat (AS) akhirnya telah bersetuju untuk menurunkan kadar tarif daripada 25% kepada 19% untuk Malaysia selepas beberapa siri rundingan telah dibuat antara AS dengan Malaysia.

Keputusan ini diperoleh selepas berlangsungnya panggilan telefon yang lama di antara Presiden AS Donald Trump dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini juga wujud laporan yang menyatakan Malaysia optimis untuk mencapai penurunan tarif kepada 20% ataupun serendah 15% yang dimaklumkan akan diketahui pada 1 Ogos ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memaklumkan bahawa panggilan telefon telah dibuat antaranya dengan pihak kerajaan AS pada 30 Ogos lalu di waktu pagi dan kesepakatan antara dua negara akhirnya berjaya dicapai.

Dalam masa yang sama juga, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan pengesahan bahawa Donald Trump akan turun menghadiri Persidangan Kemuncak ASEAN yang akan diadakan di Kuala Lumpur Oktober nanti.

Apa Yang Ditawarkan Oleh Malaysia Kepada AS Untuk Isu Tarif?

Menurut laporan The Straits Time, Malaysia dilaporkan memberi beberapa konsensi utama kepada AS dalam usaha mendapat pengurangan kadar tarif ketika rundingan diadakan.

Hal ini dilaporkan bahawa Malaysia setuju untuk membekalkan unsur nadir bumi (REE) kepada AS yang dilihat sebagai sumber yang begitu kritikal kepada industri teknologi tinggi AS.

Malaysia sememangnya kaya dengan sumber REE dan dianggarkan memiliki lebih 16 juta tan rizab REE bernilai sekitar RM1 trilion.

Walaubagaimanapun, terdapat kesangsian mengenai langkah ini jika benar ia ditawarkan kepada AS memandangkan dahulu kerajaan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia akan mengambil tindakan melarang sebarang eksport bahan mentah nadir bumi dari negara ini.

Kenyataan ini dikeluarkan ketika dunia sedang gusar terhadap penguasaan REE oleh China memandangkan kini China memiliki rizab REE yang terbesar di dunia.

Jika benar kerajaan menawarkan tawaran berupa eksport REE mentah kepada AS sebagai syarat rundingan tarif ini, maka kerajaan seakan mengenepikan janji yang dilontarkan mereka pada 2023 dalam soal eksport REE secara mentah ke negara luar.

Sesuatu yang merugikan jika sumber REE itu dieksport secara mentah sahaja kerana sumber ini jauh lebih bernilai selepas diproses berbanding dijual secara mentah.

Harga produk REE yang dihasilkan selepas diproses dijangka meningkat antara 10 dan 100 kali ganda berbanding dijual secara mentah seterusnya mampu meningkatkan hasil negara seperti yang dimaklumkan oleh presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasdi Jaafar.

Maka sebaiknya kerajaan memperhalusi cadangan tersebut untuk mengeksport sumber REE yang sudah diproses bukannya produk mentah yang akan merugikan negara.

Selain itu, dilaporkan juga bahawa Malaysia bakal mengiktiraf pensijilan halal AS termasuk untuk produk farmaseutikal yang mana pensijilan ini telah diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengiktirafan ini akan dijangka dapat memperluaskan lagi peluang dagangan halal antara kedua-dua negara ini di masa hadapan.

Isu halal merupakan isu yang begitu sensitif untuk umat Islam di Malaysia maka amat diharapkan piawaian ini dapat dibuat dengan telus bukannya atas dasar tekanan politik.

Perangkap Geopolitik, Memerlukan Strategi Yang Bijak

AS ataupun khususnya Donald Trump memang terkenal dengan sikapnya yang suka membuli negara kecil dan tindakan mengenakan tarif yang tinggi memang dibuat atas dasar kepentingan AS semata-mata.

Bukan itu sahaja malahan Trump dilihat sengaja ingin menguji negara blok Selatan sama ada untuk tunduk kepada tuntutan AS ataupun menentangnya dengan mewujudkan blok lain.

Tindakan menaikkan kadar tarif oleh AS telah memperlihatkan banyak negara blok Selatan lebih mesra dengan pakatan BRICS yang dilihat dapat mengimbangi kuasa mahupun tekanan daripada AS.

Geopolitik kini seakan-akan ingin menuju kepada multipolar walaupun banyak dakwaan yang mengatakan China masih belum berjaya menyaingi aspek ekonomi mahupun aset senjata sama seperti AS.

Semestinya Malaysia berada dalam perangkap yang licik daripada AS memandangkan Malaysia sekian lama berpendirian neutral dan tidak begitu memihak mana-mana negara mahupun blok.

Malaysia memang dilihat secara mata kasarnya sudah berjaya “bermain” permainan geoekonomi AS ini dengan baik dengan berjaya mendapat penurunan kadar tarif daripada 25% kepada 19% namun amat diharapkan kerajaan boleh bersikap telus tentang apa yang dirundingkan serta apa yang ditawarkan kepada AS.

Kedaulatan sumber bahan mentah negara harus dijaga kerana khuatir berlakunya imperialisme ekonomi oleh negara luar.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Как современные технологии защищают данные в индустрии развлечений

Next Post

Pembatalan Cukai Barang Mewah: Mahakaya tidak lagi Terbeban?

Related Posts