Bangi – Pihak polis telah mengesahkan menerima 21 laporan terhadap satu program berunsurkan LGBT yang dikaitkan dengan sebuah parti politik. Isu ini bukan sekadar perbalahan moral ia adalah ancaman terbuka terhadap kedaulatan agama, nilai budaya dan identiti negara.
Jika benar dakwaan ini, kenapa parti politik yang berada dalam kerajaan begitu berani menganjur atau menyokong program yang terang-terangan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan?
Nor Azliza Rajiain, Ketua Pemudi Parti Berjasa berkata, kita sedang berdepan dengan cubaan sistematik untuk menormalisasi budaya songsang di bawah perlindungan kuasa politik. Budaya ini bukan sahaja menyalahi norma agama, malah mencabar institusi-institusi utama seperti mufti, JAKIM, dan undang-undang syariah negeri.
“Lebih malang, pemimpin-pemimpin dalam kerajaan Madani terus mendiamkan diri, malah seringkali dilihat bersikap apologetik terhadap gerakan LGBT atas nama hak asasi manusia dan kebebasan individu.” ulasnya.
Soalnya sejak bila hak menyalahi agama dan undang-undang diangkat sebagai kebebasan yang perlu diraikan?
Nor Azliza Rajiain menegaskan, jika pihak berkuasa tidak bertindak tegas, dan kerajaan terus memberi ruang kepada agenda ini, maka rakyat perlu bangkit menentang secara sah dan demokratik. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal kedaulatan moral dan kelangsungan fitrah manusia.
“Kerajaan juga perlu bertindak tegas dengan menggantung pergerakan sayap parti politik yang terlibat untuk satu tempoh serta mengenakan denda khidmat masyarakat kepada individu / kumpulan yang terlibat melanggar dan menggugat perlembagaan negara.”tambahnya lagi.