PUTRAJAYA: Rabu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap trend peningkatan penyalahgunaan dadah dan vape dalam kalangan belia khususnya anak muda Melayu
dan menggesa penyelesaian menyeluruh melibatkan pelbagai pendekatan termasuk kaunseling dan dakwah. Kenyataan ini disifatkan sebagai bercanggah dengan tindakan sebenar kerajaan, yang sebelum ini secara langsung membuka jalan kepada industri vape berkembang tanpa kawalan.
Ketua Pemuda BERJASA, Saudara Meor Azim, mengecam sikap kerajaan Persekutuan yang dilihat semakin hilang keupayaan untuk melindungi generasi muda daripada ancaman vape dan nikotin. Menurut beliau, keputusan kerajaan Madani pada tahun 2023 di bawah Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, untuk mengeluarkan nikotin daripada senarai racun Akta Racun 1952 merupakan titik tolak kepada ledakan pasaran vape bebas. Malah, pengguguran elemen larangan GEG (Generational Endgame) daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok jelas menunjukkan kerajaan tunduk kepada tekanan pelobi industri, bukan kepada suara rakyat atau nasihat pakar kesihatan.
“Pendedahan dari Pusat Racun Negara mengenai peningkatan kes keracunan cecair vape, terutama dalam kalangan pelajar sekolah, cukup untuk kita isytiharkan ini sebagai krisis kesihatan awam,” tegas Meor. Beliau juga mengingatkan bahawa kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri sebelum ini – yang menyebut kesukaran kerajaan untuk mengharamkan vape – membuktikan kelemahan dasar dan kepimpinan moral kerajaan hari ini.
Dalam suasana ketidaktegasan di peringkat pusat, beberapa kerajaan negeri telah bertindak lebih progresif dan tegas. Pahang, Kelantan, Terengganu dan Kedah telah mengharamkan penjualan vape secara menyeluruh atau mengenakan sekatan ketat, terutamanya melibatkan akses kepada pelajar. Meor mengucapkan tahniah dan syabas kepada kepimpinan negeri-negeri ini kerana berani bertindak melindungi kesihatan rakyat walaupun kerajaan pusat masih berbelah bahagi.
“Contohilah Singapura dan Brunei, dua negara yang berjaya mengekang penularan vape dengan tegas dan konsisten. Kalau negara jiran boleh bertindak jelas tanpa tunduk pada industri, kenapa Malaysia terus ragu-ragu? Kita tak patut gadaikan kesihatan rakyat untuk hasil cukai jangka pendek,” ujar Meor.
Sebagai penyelesaian berimbang, Meor mengusulkan satu Pelan Peralihan Vape Nasional yang tidak menindas peniaga kecil, tetapi tetap melindungi kesihatan awam secara menyeluruh. Antaranya adalah pengharaman berperingkat terhadap vape tidak berdaftar, sistem pelesenan ketat untuk pengeluar dan penjual, menetapkan had umur minimum 21 tahun bagi pembelian, mengadakan kawalan terhadap bahan, perisa dan pengiklanan, mewujudkan insentif peralihan untuk peniaga kecil serta melaksanakan semula GEG.
“Kerajaan tak boleh lagi terus jadi jurucakap industri. Ini soal nyawa, bukan sekadar ekonomi,” tegasnya. Beliau menyeru agar semua Ahli Parlimen, terutamanya yang berada dalam kerajaan, berhenti bermain selamat dan mula mendengar suara akar umbi serta pakar kesihatan, bukan tekanan korporat.