Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan satu pekeliling rasmi yang mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada semua murid dan pelajar di bawah kendaliannya, termasuklah sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG). Pelaksanaan ini yang bermula pada 21 April selepas mendapat kelulusan kabinet pada 14 Februari yang lalu.
Namun begitu, langkah ini turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun niatnya dilihat positif, persoalan timbul mengenai keberkesanan dan pendekatan sebenar inisiatif tersebut. Ramai yang menyokong semangat patriotik sebagai asas penting dalam memupuk sifat patriotisme, namun adakah dengan sekadar pemakaian lencana dapat menyemai semangat itu secara menyeluruh dan mendalam?
Antara keraguan yang dibangkitkan oleh rakyat ialah mengapa pemakaian lencana Jalur Gemilang ini hanya diwajibkan kepada sekolah di bawah kendalian kerajaan sahaja. Bukankah semangat patriotisme itu wajar dipupuk secara menyeluruh tanpa mengira jenis institusi pendidikan? Sekiranya matlamatnya adalah untuk mewujudkan satu identiti nasional yang kukuh, maka adalah lebih wajar sekiranya dasar ini diperluaskan kepada semua jenis sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta, persendirian dan juga sekolah antarabangsa.
Malah, ada juga yang mempersoalkan tentang pelaksanaan elemen patriotik yang lain seperti penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sekiranya bahasa itu merupakan salah satu simbol penting kenegaraan, mengapa penggunaannya tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan tegas dalam semua sistem pendidikan?
Menurut Pakar Pendidikan, Dr. Anuar Ahmad, terdapat dua agenda besar yang tidak wajar dipinggirkan dalam usaha memupuk semangat patriotik, iaitu penghayatan terhadap Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara. Beliau menegaskan bahawa Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, justeru adalah wajib bagi setiap murid yang merupakan warganegara Malaysia untuk menguasai bahasa tersebut.
Dr. Anuar turut menekankan bahawa pemakaian lencana hanyalah usaha ‘segera’ untuk membina semangat patriotisme. Apa yang lebih penting ialah pelaksanaan program bersepadu yang mampu menyemai kefahaman mendalam terhadap Perlembagaan, Rukun Negara serta ilmu sejarah dan kenegaraan.
Pemakaian lencana Jalur Gemilang boleh menjadi sebahagian daripada inisiatif patriotik, namun usaha ini perlulah disokong dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, mendalam dan merentasi semua institusi pendidikan. KPM wajar melihat ini sebagai langkah awal kepada reformasi pendidikan patriotik yang lebih berimpak tinggi, dengan memberi penekanan kepada penguasaan bahasa kebangsaan, penghayatan kepada Perlembagaan, dan nilai-nilai dalam Rukun Negara.