Parti BERJASA memandang serius isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di kawasan PJS4 yang telah digunakan dalam suatu tempoh yang panjang bagi pembinaan sebuah kuil tanpa sebarang pemilikan atau kelulusan sah.
Menurut BERJASA, perbuatan ini bukan sahaja memperlihatkan wujudnya pencabulan hak pemilikan tanah kerajaan yang sebelum ini diwartakan untuk kegunaan Islam, malah mencerminkan kelemahan penguatkuasaan serta sikap sambil lewa dalam menangani isu pencerobohan.
Perlu Penguatkuasaan secara Tegas, Bukan Rundingan Atau gantian demi Kertas Undi
Perlembagaan Persekutuan jelas mengatakan Islam adalah agama persekutuan manakala agama-agama lain bebas diamalkan, yang juga bermaksud tidak bebas untuk melakukan apa-apa pencerobohan.
Ustaz Zamani Ibrahim yang juga merupakan Presiden Berjasa berkata, “Pembinaan rumah ibadah di atas tanah tanpa hak milik yang sah merupakan satu pelanggaran undang-undang yang jelas. Tindakan ini bukan sahaja mencabar kedaulatan undang-undang negara, malah mencetuskan sensitiviti agama dan ketegangan dalam masyarakat majmuk.”
Apabila kerajaan berhadapan dengan penceroboh tersebut, isu ini tidak boleh ditangani hanya dengan cara rundingan, tawar-menawar ganti rugi atau tanah gantian semata-mata. Langkah yang sepatutnya adalah dengan menguatkuasakan undang-undang kepada mereka yang menceroboh.
Hal ini tidak boleh diselindungkan atas nama toleransi, kerana ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan pencerobohan dan pencabulan undang-undang, apatah lagi jika cuba menjadikan kertas undi sebagai matlamat akhir di sebalik ‘sokongan’ terhadap pencabulan mahupun jenayah yang dilakukan.
Beliau juga berpandangan, budi bicara yang diamalkan orang politik selama ini terlalu lemah hingga tidak disedari membuka ruang kepada ketidakadilan yang saat ini sedang berlaku, terutamanya kepada umat Islam.
Adakah Kerajaan Bersikap Selektif Dalam Penguatkuasaan Undang-Undang?
Sikap kerajaan yang seperti selektif dalam menangani isu ini, khususnya apabila tindakan secara intimidasi diambil terhadap pihak yang membuat laporan polis terhadap pencerobohan, sedangkan penceroboh sebenar tidak dikenakan tindakan atau penguatkuasaan sewajarnya mestilah dipersoalkan.
Pendekatan sebegini bukan sahaja songsang dari prinsip keadilan, malah memberi mesej berbahaya pada masa hadapan bahawa pelanggaran undang-undang boleh dilindungi, manakala rakyat yang mempertahankan hak pula boleh ditekan. Saudara Hisham Marzuki dari PPIM berkata, “adalah lebih mustahak agar kuasa yang ada digunakan bagi mengambil tindakan ke atas penceroboh sama ada di tanah persendirian atau tanah kerajaan tanpa sikap selektif”
“Pihak-pihak yang berani membongkar salah laku, membuat laporan atau mengkritik binaan haram yang tidak mengikut proses undang-undang tidak sepatutnya dilayan seperti penjenayah. Penahanan sebegitu akan memberi impak negatif terhadap integriti dan kebebasan pihak berkuasa kerana seolah-olah ianya adalah taktik menakut-nakutkan orang awam dari membongkar aktiviti pencerobohan tanah”, katanya lagi.
Kerajaan diingatkan agar tidak menghukum suara yang mempertahankan kebenaran, sebaliknya fokus kepada pelaku sebenar yang menceroboh dan melanggar undang-undang.
Keperluan Mekanisme Pencegahan Pencerobohan Tanah
Sehubungan itu, BERJASA menyeru agar satu mekanisme khusus diwujudkan bagi mengelakkan pencerobohan tanah-tanah sensitif, khususnya tanah perkuburan dan rizab keagamaan hatta tanah kerajaan negeri, daripada disalahgunakan bagi pembinaan rumah ibadah secara tidak sah.
Menurut Ustaz Zamani, perancangan pembinaan rumah ibadah mesti mengambil kira faktor populasi setempat, keperluan sebenar, serta kelulusan rasmi pihak berkuasa bagi mengelakkan ketegangan dan ketidakseimbangan dalam komuniti setempat.
Dasar yang jelas dan menyeluruh adalah satu urgensi yang perlu dilakukan membabitkan faktor seperti status tanah, keperluan dan kesesuaian lokasi seperti jarak rumah ibadat sedia ada, jumlah penganut agama tersebut perlu ditimbang tara dan dijamin relevan dengan permohonan rumah ibadat.
Beliau juga menyeru untuk kerajaan mewujudkan unit pemantauan yang mampu bertindak dengan tegas, pantas dan berupaya memantau setiap inci tanah yang ada agar tiada pencerobohan berjaya dilakukan.
Undang-Undang dan Kesucian Tanah Perlu Dipertahankan
BERJASA menegaskan bahawa isu ini bukan soal kebencian atau penolakan terhadap mana-mana agama, sebaliknya soal mempertahankan kedaulatan undang-undang, kesucian tanah dan keadilan dalam pengurusan tanah negara.
Sekiranya pencerobohan seperti ini terus dibiarkan, ia berpotensi mencetuskan ketegangan antara masyarakat serta melemahkan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.
BERJASA akan terus berdiri teguh mempertahankan hak umat Islam, kedaulatan undang-undang serta keharmonian masyarakat, dan menuntut agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menceroboh tanah secara haram tanpa kompromi.